Memohon Keampunan Allah Dalam Menghadapi Wabak Penyakit
Saya sebenarnya tidak pasti sama ada mahu menulis tentang ini atau tidak. Tetapi rasanya tidak salah saya menulis sekadar untuk satu peringatan untuk saya dan kita semua. Saya rasa semua orang tahu tentang wabak penyakit yang melanda Malaysia dan dunia. Menurut laman web Kementerian Kesihatan Malaysia, setakat 6 Ogos 2009, jumlah kematian sudah mencapai 14 orang. Dan berdasarkan sumber Bernama, ini termasuk 3 orang kanak-kanak.
Tidak perlu rasanya saya mengucapkan sedih tentang kematian kanak-kanak yang tidak berdosa ini, kerana Insya Allah Allah akan memasukkan mereka ke dalam syurga dan mereka juga mengharapkan ibu bapa mereka juga akan bersama mereka di syurga nanti. Kepada saudara SeIslam saya yang kehilangan anak, ayah ibu, saudara mara kerana wabak penyakit ini, saya cuma boleh memberikan anda hadith ini yang Insya Allah bakal mengubat hati yang luka:
Abu Hurairah r.a. telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda:
“Kematian kerana wabak penyakit adalah syahid bagi seorang Muslim.” (Hadith Riwayat Bukhari dalam Bab Perubatan).
Apakah kita umat Islam dapat lakukan ketika wabak ini merebak? Sebagaimana sabda Rasulullah, kita umat Islam bersaudara, kita seperti batu-bata yang melengkapi satu dinding. Saya tidak menafikan bahawa kita harus berdoa kepada Allah agar menjauhkan diri kita, ibu bapa, isteri kita dan anak-anak kita daripada wabak penyakit ini. Lebih daripada itu kita harus mengambil pelajaran daripada hadith ini:
Diriwayatkan oleh Aisha: “Saya bertanya Rasulullah tentang wabak penyakit. Beliau memberitahu saya bahawa ia merupakan hukuman daripada Allah ke atas siapa yang dikehendakinya dan Allah menjadikannya sebagai sumber rahmat kepada orang-orang Muslim di mana jika di kala mana seorang berada di waktu ketika tersebarnya wabak penyakit dan dia tinggal tidak meninggalkan tanahairnya mengharapkan balasan kebaikan daripada Allah dan percaya bahawa tidak akan apa yang berlaku ke atasnya melainkan apa yang telah disuratkan oleh Allah ke atasnya, dia akan menerima balasan kebaikan sebagai seorang syahid.” (Hadith Riwayat Bukhari di dalam Bab Kebaikan dan Kemuliaan Nabi (s.a.w.) dan para Sahabatnya.)”
Kita seharusnya memperbanyakkan memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadanya. Saya menggalakkan anda membaca Risalah al-Qusyairi dalam Bab Taubat untuk mengetahui apakah maksud taubat yang ingin saya sampaikan. Cuba kita ambil pengajaran dan amalkan doa Nabi Yunus ketika berada dalam perut ikan Nun:
“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Anbiya’, 21: 87). Anda boleh baca apakah yang menyebabkan Nabi Yunus ditimpa cubaan sebegitu. Dalam ayat seterusnya, Allah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan.
Dan dalam keadaan seperti sekarang ini, tidak salah rasanya saya menggesa saya dan anda semua agar dapat mengambil pelajaran daripada Surah al-Dukhan. Maksud saya mengambil pelajaran daripadanya; bukan kepada siapa azab itu ditujukan tetapi apakah yang menyebabkan turunnya azab itu.
Dan sudah sampai masanya kita mengkaji wahyu terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kita tidak sepatutnya tidur ketika Allah dan Rasulnya mengisytiharkan perang terhadap kita. Kita sama-sama bertanggung jawab dengan apa yang menimpa umat Islam dan umat manusia.





