Tazkirah DiriApril 18, 2009 2:26 pm


Pujangga ada menyebut: لسان الحال اؤصح من لسان المقال, iaitu “Bahasa perbuatan itu adalah lebih fasih daripada bahasa percakapan.”

Kita semua mempunyai potensi untuk membuat perubahan dalam masyarakat dengan membuat perubahan dalam diri kita. Ini boleh disebut sebagai dakwah dengan perantaraan contoh tauladan yang baik.

Setiap seorang daripada anda mempunyai potensi menjadi pendakwah yang berjaya. Berdakwah tidak semestinya anda menyampaikan sesuatu, tetapi anda boleh mengajak manusia untuk memikirkan sesuatu. Inilah cara yang dilakukan Socrates sehingga beliau berjaya membuat perubahan besar dalam masyarakatnya. Beliau berkata: “Saya hanya tahu bahawa saya tidak tahu apa-apa.” Beliau mengajak masyarakat untuk berdialog dengannya untuk mengetahui kebenaran sesuatu itu. Seperti biasa, apabila seseorang manusia menyampaikan kebenaran iaitu antara lainnya membezakan yang manakah yang hak dan batil, illusi dan realiti, maka dia akan dibenci. Begitulah yang berlaku kepada Socrates, beliau dituduh memesongkan akhlak remaja dan dihukum untuk meminum racun sampai mati dan beliau melakukannya dengan sukarela.

Sekiranya anda ada seorang kawan yang berilmu tetapi beliau tidak dapat menghebahkan ilmunya kerana halangan-halangan kesibukan dunia, maka sekali-sekala ajaklah dia berbual tentang ilmu agama dan tanyakan apa yang anda tidak tahu. Anda bukan saja ‘mengembalikan’ ilmunya yang telah ‘lupa’, tapi anda juga dapat mendapat ilmu. Anda berdakwah kepadanya dan dia berdakwah kepada anda. Maka anda berdua sedang melakukan dakwah. Saya sering melakukan kaedah ini dan kami berbual seperti biasa seperti perbualan seharian. Maksud saya di sini, ilmu agama yang membawa kita mengenal mana yang palsu dan reliti, yang memberi bekas kepada jiwa anda untuk menjadi manusia yang ikhlas dan bersih sesuai dengan firman Allah bahawa Allah cinta kepada mereka yang berusaha membersihkan dirinya.

Make your influence positive. Create more positive energy. Minimize negative energy.

Tazkirah DiriMarch 27, 2009 7:35 am


“And a Man sat alone, drenched deep in sadness.

And all the animals drew near to him and said, “We do not like to see you so sad. Ask us for whatever you wish and you shall have it.” The Man said, “I want to have good sight.” The vulture replied, “You shall have mine.”

The Man said, “I want to be strong.” The jaguar said, “You shall be strong like me.”

Then the Man said, “I long to know the secrets of the earth.” The serpent (cuba fikirkan makhluk apakah yang disimbolkan sebagai ular. Bukankah dulu dia seorang yang ‘alim. Tapi saya tidak bermaksud dalam hal cerita ini ular itu adalah makhluk tersebut.) replied, “I will show them to you.” And so it went with all the animals.

And when the Man had all the gifts that they could give, he left. Then the owl said to the other animals, “Now the Man knows much, he’ll be able to do many things. Suddenly I am afraid.” The deer said, “The Man has all that he needs. Now his sadness will stop.” But the owl (cuba fikirkan kenapa burung hantu disimbolkan sebagai binatang yang memiliki lebih hikmah daripada semua binatang? Kerana burung hantu boleh melihat di dalam gelap, dan memerhatikan persekitarannya dari atas pokok yang tinggi) replied, “No. I saw a hole in the Man, deep like a hunger he will never fill. It is what makes him sad and what makes him want. He will go on taking and taking, until one day the World will say, ‘I am no more and I have nothing left to give.’”

Illusi dan penjara. Bukankah apabila kita berjalan kita banyak melihat ‘lady in red’ di sekeliling kita? Bukankah kita mahu memilikinya? Kita melihatnya bersinar-sinar dan kita berasa iri terhadap mereka yang memilikinya? Kita melihatnya cantik dan kita ingin memilikinya. Dunya, bukankah kita mahu mencapai anggur yang sedang ranum itu? Bukankah kita berasa tenang di dipeluk ‘lady in red.’ Tapi kita harus hidup dalam penjara ini dengan baik. Mencari makanan dalam penjara ini dengan baik untuk menyuburkan diri fizikal kita ini sebelum dibebaskan. Kita dilarang menyia-nyiakan fizikal kita ini. Kita perlu berkelakuan baik dalam penjara ini. Nabi bersabda: “Dunia itu penjara mu’min dan syurga orang kafir.”

Lain-Lain, Buku, Tasawwuf, Tazkirah DiriJuly 29, 2007 6:08 am

Isi-isi yang akan saya bentangkan di bawah ini berdasarkan pembacaan saya melalui buku Al-Ghazzaliyy: A Study in Islamic Epistemology karangan Dr. Mustafa Abu-Sway, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dr. Mustafa merupakan Profesor Madya di Universiti al-Quds, Jerusalem.

Terdapat dakwaan daripada sesetengah pihak yang mendakwa Imam al-Ghazzali telah ‘bertaubat’ daripada menjadi seorang sufi di akhir hayatnya. Mereka mengatakan bahawa Imam al-Ghazzali telah bertaubat daripada kekurangan ilmunya dalam bidang hadith dan meninggalkan bidang tasawwuf yang menjadi pegangan hidupnya dalam memperoleh ilmu yang pasti yang dicari-carinya sejak zaman remaja.

Dakwaan pertama mereka tidaklah tepat apabila kita meneliti kitab-kitab karangan Imam al-Ghazzali di akhir hayatnya. Memang benar Imam al-Ghazzali ada menyebut di dalam perenggan akhir kitabnya yang bertajuk Qanun al-Ta’wil bahawa ilmunya dalam ilmu hadith adalah sedikit. Menurut al-Subkiyy di dalam kitabnya Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra, di akhir hayatnya, Imam al-Ghazzali mula belajar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. melalui Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Menurut Abu al-Qasim Ibn ‘Asakir, Imam al-Ghazzali mempelajari Sahih Bukhari di tangan Abu Sahl Muhammad Ibn ‘Abd Allah al-Hafsiyy. Juga, al-Sam;aniyy melaporkan bahawa Imam al-Ghazzali mempelajari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim di tangan Abu al-Fityan ‘Umar Ibn Abu al-Hasan al-Rawasiyy al-Tusiyy. ‘Abd al-Ghafir Ibn Isma’il al-Khatib a-lFarisiyy melaporkan bahawa imam al-Ghazzali mempelajari Sunan Abu Dawud al-Sijistaniyy di tangan Abu al-Fath al-Hakimiyy al-Tusiyy.

Dakwaan mereka yang menyatakan Imam al-Ghazali ‘bertaubat’ daripada menjadi Sufi di akhir hayatnya adalah tidak benar.

Dr. Mustafa Abu-Sway menulis:

It is apparent, then, that al-Durrah al-Fakhirah, Iljam al-’Awam ‘an ‘Ilm al-Kalam and Minhaj al-’Abidin, written during the last stage of al-Ghazzaliyy’s life, contain clear manifestations of his continue acceptance of Sufism as the path for true knowledge.

In al-Durrah al-Fakhirah, he held that the Sufis, whom he describes as ‘Arifin (Gnostics) are the only people who upon death could proceed through the seven Heavens to reach Allah. In Iljam al-’Awam he employed the concept of “common people” to divide every other kind of scholar from the Sufis. He ranked the Sufis higher and he described them as scholars of the hereafter. Finally, in Minhaj al’Abidin, he defended Sufi schools and lodges. In addition, he described the knowledge of the Sufi in terms of divine light which is typical of “unveiling” (kashf).

All of these Sufi themes, which were also using Sufi terminology, leave no room for any doubt or hesitation that Al-Ghazzaliyy’s epistemology was Sufi in its essence. It should be noted that this is not a defence of Sufism against the Salafiyyah movement which tried to present Al-Ghazzaliyy in his final days as someone who abandoned Sufism. What I am tring to say that they need a better argument for their position.

Jadi, dengan mengatakan Imam al-Ghazzali telah ‘bertaubat’ daripada menjadi seorang Sufi berdasarkan kesungguhan Imam al-Ghazzali mempelajari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim pada akhir hayatnya adalah tidak tepat.

Imam al-Ghazzali merupakan seorang tokoh Islam yang banyak memberi sumbangan dalam memakmurkan masyarakat Islam. Kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din, ditulis untuk mengembalikan masyarakat Islam agar mengetahui apakah yang perlu diperlakukan orang orang Islam untuk memperoleh ilmu yang pasti, iaitu melalui disiplin dan membersihkan hati daripada sifat mazmumah. Dalam Bab Ilmu Imam al-Ghazzali menegur sikap umat Islam di zamannya yang terlalu menyibukkan diri dengan permasalahan fiqh dan perdebatan hingga melupakan ilmu akhirat. Beliau jelas merupakan seoarang pengikut mazhab Syafi’i tetapi beliau menolak sifat ta’assub mazhab yang berlaku di zamannya. Di dalam Bab Ilmu Ihya’, Imam al-Ghazzali menerangkan keperibadian yang tinggi imam-imam mazhab iaitu Imam Syafi’i, Imam Malik, Imam Ahmad Ibn Hanbal, Imam Abu Hanifah dan Imam Sufian al-Thawri. Imam al-Ghazzali menegur mereka yang hanya bersungguh-sungguh mempelajari ilmu fiqh kelima-lima Imam mazhab ini tanpa mengambil teladan sifat mereka yang zuhud dan menolak kemasyhuran dan pangkat. Imam al-Ghazzali menyebut di dalam Bab Ilmu di Ihya’ bahawa tujuan agama adalah untuk menghapuskan kejahatan.

Jelas, isi Bab Ilmu Ihya Ulum al-Din masih relevan hingga ke hari ini. Kita melihat ada di antara kita (termasuk diri sendiri) terlalu sibuk memperdebatkan hal-hal agama hingga lupa tentang ilmu akhirat, ilmu untuk mengenal Tuhan, malaikat, seksa kubur dan keburukan sikap takabbur, riya’ dan sebagainya. Ada di antara kita (termasuk diri sendiri) terlalu sibuk tentang ilmu-ilmu fardhu kifayah, belajar pelbagai ilmu pengetahuan, sains, astronomi, fizik, falsafah dan sebagainya yang memang penting untuk umat Islam tetapi terlupa untuk mempelajari ilmu fardhu ‘ain, ilmu mengenal Tuhan, malaikatnya, hari akhirat, keburukan banyak makan dan bercakap, dan tiada masa untuk duduk berzikir dan menangisi dosa-dosa kita. Dan, oleh kerana itulah Imam al-Ghazzali menulis Ihya’ Ulum al-Din, untuk membangkitkan kembali ilmu-ilmu agama yang sebenar yang semakin dipinggirkan di zamannya.

Wallahu a’lam.

Tazkirah DiriJune 16, 2007 9:18 am

Kisah yang saya akan paparkan ini diterjemahkan daripada ‘The Gospel of Barnabas’. Dalam Gereja Pauline ataupun apa yang disebut Kristian sekarang ini, Gospel ini dianggap hasil kerja orang Islam fanatik dan penipuan semata-mata. Tetapi sejarah menunjukkan Gospel ini wujud dan menjadi bahan pengajaran di gereja-gereja di Alexandria sehinggalah berlakunya The Council of Nicea pada tahun 325 A.D di mana kesemua Gospel dibakar kecuali empat buah Gospel yang disebut ‘Canonical Gospel’ iaitu Gospel menurut Matthew, Mark, Luke, dan John. Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kesahihan Gospel Barnabas boleh merujuk buku-buku ini:

1.The Gospel of Barnabas sendiri, diedit dan diterjemahkan daripada bahasa Itali kepada Bahasa Inggeris oleh Lonsdale and Laura Ragg terbitan Oxford Clarendon Press.

2. The Dead Sea Scrolls, The Gospel of Barnabas, and The New Testament karangan M. A. Yusseff. Diterbitkan oleh American Trust Publications. Buku ini amat baik untuk dijadikan rujukan tentang bagaimana gereja Roman Catholic boleh terbentuk dan pengaruh falsafah paganism (Greco-Roman) kepada pencemaran ajaran Nabi Isa, ajaran Paul yang berlainan daripada ajaran asal Nabi Isa dan pengaruh dan konspirasi Nocolaitan terhadap pencemaran ajaran Nabi Isa.

3. Forgotten Gospel of St. Barnabas karangan Dr. M. H. Durrani, bekas ahli agama di Gereja St. Mary di Quetta Pakistan yang telah memeluk Islam. Diterbitkan oleh International Islamic Publishers.

4. Jesus: A Prophet of Islam, karangan Muhammad ‘Ata ur-Rahim. Diterbitkan oleh MWH London Publishers.

Hosea ketika dia pergi untuk memperhambakan diri kepada Tuhan, merupakan putera raja kepada kaum Naphtali, dan berumur 14 tahun. Dan, setelah menjual segala harta pusakanya dan memberinya kepada orang miskin, dia pergi untuk menjadi murid Haggai, (seorang Nabi kepada kaum Bani Israel).

Hosea merupakan seorang yang sangat pemurah sehinggakan sesiapa yang meminta sesuatu kepadanya, maka dia akan berkata: “Ini telah Tuhan berikan kepadaku untuk diberikan kepada kamu, wahai saudaraku, jadi, terimalah ia.

Oleh kerana sifatnya itu, akhirnya dia hanya mempunyai dua pakaian iaitu sepasang baju panjang yang diperbuat daripada rami dan baju luar yang diperbuat daripada kulit.

Hosea mempunyai sebuah kitab Nabi Musa yang dibacanya dengan sepenuh hati. Satu hari, Haggai berkata kepadanya: “Hosea, siapa yang telah mengambil semua yang kamu ada? Dia menjawab: “Kitab Nabi Musa.”

Suatu hari, seorang murid kepada seorang Nabi hendak bertolak ke Jerusalem, tetapi dia tidak mempunyai baju luar. Jadi, apabila ia mendengar tentang sifat pemurah Hosea, dia pergi mencarinya, dan berkata kepadanya: “Saudara, saya sangat ingin pergi ke Jerusalem untuk melaksanakan korban untuk Tuhan kita, tetapi saya tidak mempunyai baju luar, jadi saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan.” Apabila dia mendengar perkataan ini, Hosea berkata: “Maafkan aku wahai saudaraku, saya telah melakukan dosa yang besar terhadap kamu: kerana Tuhan telah memberi saya sepasang baju luar untuk diberikan kepadamu dan saya telah terlupa. Jadi sekarang terimalah ia, dan berdoalah kepada Tuhan untukku.” Lelaki itu percaya akan kata-kata Hosea, menerima baju itu dan pergi.

Dan apabila Hosea pergi ke rumah Haggai, Haggai berkata: “Siapa yang telah mengambil baju luarmu?” Hosea menjawab: “Kitab Nabi Musa.” Haggai berasa sangat senang hati mendengar perkara tersebut, kerana dia tahu akan kebaikan Hosea.

Seorang lelaki telah dirompak dan dibiarkan dalam keadaan telanjang. Apabila Hosea melihatnya, dia menanggalkan baju panjangnya dan memberinya kepada lelaki itu, meninggalkan dirinya sendiri hanya ditutupi sepotong kulit kambing yang kecil menutup kemaluannya. Oleh kerana ini, Hosea tidak pergi berjumpa Haggai.

Haggai berfikir bahawa Hosea sakit. Jadi dia pergi bersama dua orang muridnya untuk mencari Hosea; dan mereka menjumpai Hosea dibaluti dengan daun palma. Kemudia Haggai berkata: “Katalah kepadaku sekarang, kenapa kamu tidak melawat saya?” Hosea menjawab: “Kitab Nabi Musa telah mengambil baju panjangku, dan aku takut untuk berjumpamu tanpa sepasang baju panjang.” Jadi Haggai memberinya sepasang lagi baju panjang.

Satu hari seorang pemuda telah melihat Hosea sedang membaca kitab Nabi Musa. Lalu pemuda itu menangis dan berkata: “Aku juga dapat belajar membaca jika saya mempunyai sebuah buku.” Apabila Hosea mendengar perkataan pemuda itu, Hosea memberinya buku itu, dan berkata: “Saudara, buku ini kepunyaanmu, kerana Tuhan memberinya kepada saya supaya saya memberinya kepada seorang yang menangis untuk memiliki sebuah buku.” Pemuda itu mempercayai kata-kata Hosea dan menerima buku itu.

Terdapat seorang murid Haggai yang datang berjumpa Hosea, dan dia berkehendak untuk memastikan buku yang dimilikinya ditulis dengan betul, telah berkata kepada Hosea: “Saudara, ambillah buku anda dan mari kita lihat sama ada ia serupa dengan buku saya.” Hosea menjawab: “Ia (kitab Nabi Musa) telah diambil daripada saya” Siapa yang mengambilnya?” berkata murid itu. Hosea menjawab: “Kitab Nabi Musa.”

Apabila murid itu mendengar kata-kata Hosea, murid itu berjumpa Haggai dan berkata kepadanya: “Hosea telah menjadi gila, kerana dia berkata kitab Nabi Musa telah mengambil kitab Nabi Musa (yang dimilikinya). Haggai berkata: “Semoga Tuhan, wahai saudara, menjadikan aku gila sepertinya dan orang gila menjadi seperti Hosea!”

Pada suatu ketika, beberapa perompak Syria telah merompak tanah Judaea dan menculik anak seorang janda. Secara kebetulan, Hosea pergi memotong kayu dan berjumpa wanita tersebut yang sedang menangis. Lalu Hosea memangis kerana apabila dia melihat seorang ketawa dia akan ketawa dan apabila seorang memangis dia akan menangis. Hosea bertanya kepada wanita itu apa yang telah terjadi, dan wanita itu menceritakan segalanya kepada Hosea.

Kemuadian Hosea berkata, “Mari wahai saudari, kerana Tuhan berkehendak untuk memulangkan semula anakmu.” Dan mereka berdua pergi ke Hebron, di mana Hosea menjual dirinya (untuk dijadikan sebagai hamba), dan memberi wang jualan tersebut kepada janda tersebut yang tidak mengetahui di mana Hosea mendapat wang itu; janda itu menerimanya dan menebus balik anaknya. Lelaki yang telah membeli Hosea membawanya ke Jerusalem.

Haggai, apabila mendapati Hosea tidak dapat ditemui berasa sedih. Maka, malaikat memberitahunya bagaimana Hosea telah dijadikan sebagai hamba di Jerusalem.

Apabila Haggai mendengar perkara tersebut, dia menangis di atas kehilangan Hosea seperti seorang ibu kehilangan anaknya. Dan dia memanggil dua orang muridnya dan mereka pergi ke Jerusalem. Dan, dengan kehendak Tuhan, di pintu masuk bandar itu, dia berjumpa Hosea, yang sedang sarat membawa roti untuk diberikan kepada pekerja-pekerja di kebun anggur tuannya.

Haggai dapat mengenal Hosea, dan berkata kepadanya: “Anakku, bagaimana kamu boleh melupakan bapa kamu yang tua ini, yang mencarimu dengan kesedihan?” Hosea menjawab: “Ayah, saya telah dijual.” Kemudian Haggai berkata dalam kemarahan: “Siapa orang jahat itu yang telah menjualmu?” Hosea menjawab: “Semoga Tuhan mengampunimu, wahai ayahku; kerana dia yang menjualku sungguh baik, jikalau dia tiada di dunia tiada siapa boleh menjadi mulia.” Siapakah dia?” Tanya Haggai. Hosea menjawab: “Wahai ayahku, ia adalah kitab Nabi Musa.”

Kemudian Haggai berkata: “Semoga Tuhan, wahai anakku, akan menjadikan aku dan kesemua anak-anakku akan dijual oleh kitab Nabi Musa seperti mana kitab Nabi Musa menjualmu.

Dan Haggai bersama Hosea pergi ke rumah tuannya, yang apabila melihat Haggai berkata: “Maha suci Tuhan yang telah menghantar Nabi-Nya ke rumahku.” Dan lalu berlari untuk mencium tangan Haggai. Lalu Haggai berkata: “Saudara, cium tangan hambamu yang telah kamu beli, kerana dia lebih mulia daripadaku. Dan Haggai menceritakan segala yang telah berlaku kepadanya, lalu lelaki itu memerdekakan Hosea.

Tazkirah DiriMay 17, 2007 3:38 am

Islam adalah satu al-Din yang diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan umatnya. Islam diturunkan oleh Allah S.W.T. untuk memandu manusia ke jalan yang lurus dan diredhai-Nya. Secara umumnya, ‘ulama’ kita telah menghuraikan bahawa Islam itu terdiri daripada tiga perkara pokok iaitu aqidah, syariah dan akhlaq.

Akhlaq berasal daripada perkataan Arab yang diambil daripada perkataan al-khuluq yang bererti perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan dan pegangan. Akhlaq yang mulia melambangkan hati seseorang yang bersih dan bening serta suci dan luhur. Tidak syak lagi bahawa jiwa yang bersih akan melahirkan tingkah laku dan gerak geri yang mulia, sopan dan tertib.

Menurut Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali, akhlaq adalah keadaan batin yang menjadi sunber lahirnya suatu perbuatan yang dilakukan secara spontan, mudah dan tanpa menghitung untung atau rugi. Al-Husayn b. Mansur menerangkan, “Maksud akhlaq yang mulia ialah kekasaran orang tidak menggusarkan anda apabila kamu sudah menumpukan diri kepada Allah S.W.T. Abu Sa‘id al-Kharraz berkata, “Akhlaq yang mulia bermaksud kamu kamu tidak mempunyai cita-cita yang lain selain Allah Yang Maha Tinggi.” Demikian antara yang tersebut di dalam Risalah al-Qushyariyah.

Sumber nilai-nilai akhlaq adalah berdasarkan al-Qur’an dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. yang mulia. Maka daripada firman-firman Allah S.W.T. dan Sunnah Nabi s.a.w., ‘ulama’ silam kita telah mengarang pelbagai kitab-kitab yang bermanfaat yang ada menyentuh tentang akhlaq yang mulia, contohnya Ihya’ ‘Ulum al-Din dan Bidayah al-Hidayah karangan Imam al-Ghazali, al-Nasa’ih al-Diniyyah wa al-Wasaya al-Imaniyyah karangan Shaykh al-Habib ‘Abdullah ‘Alawi al-Haddad, al-Risalah karangan Abu al-Qasim ‘Abd al-karim b. Hawazin b. ‘Abd al-Malik b. Talha al-Qushayri, al-Hikam karangan Shaykh Ibn Ata’illah al-Sakandari dan lain-lain.
Apabila kita menyentuh persoalan akhlaq, ia merupakan komponen yang sama-sama penting dalam Islam. Kita juga tidak dapat memutuskan hubungan antara akhlaq, Islam dan ‘aqidah. Al-Qur’an telah mengajar kita pelbagai kisah yang menyentuh tentang akhlaq yang mulia. Di antara contoh yang amat jelas ialah kisah Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya Nabi Isma‘il a.s. Melalui kisah ini, kita dapat memperoleh dua sifat akhlaq yang mulia iaitu ‘penyerahan diri’ dan ‘pengorbanan.’ Kedua-dua ciri akhlaq tersebut telah diabadikan oleh Allah S.W.T. dalam ibadah Haji dan Qurban.

Ciri akhlaq ‘penyerahan diri kepada Allah’ yang sungguh besar nilainya telah dijadikan oleh Nabi Ibrahin a.s. sebagai al-Din anutannya sebagaimana yang tersebut di dalam Surah al-Haj ayat 78. Nabi Ibrahim a.s. juga telah berdoa kepada Allah S.W.T. agar dirinya dan anaknya dijadikan sebagai Muslimin. Itulah juga doa yang dipohonkannya ke atas zuriat dan keturunannya seperti yang tersebut di dalam Surah al-Baqarah ayat 127. Inilah juga mesej yang disampaikan oleh para Nabi dan Rasul selepasnya. Oleh kerana itu Nabi Ibrahim a.s. digelar sebagai bapa segala Nabi (Abu al-Anbiya’).

Selepas itu, Allah S.W.T. telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pelengkap segala rasul. Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan dengan membawa ciri akhlaq yang utama iaitu ‘penyerahan diri kepada Allah’ dan beliau juga diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq tersebut sebagaimana sabdanya, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq.” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim). Maka memang sepatutnya kita melafazkan salam dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Ibrahim a.s. di dalam tahiyyah salat kita seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Melalui mereka, kita dapat merasai nikmat Islam dan Iman.

Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merendahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takabbur.” (Surah al-Sajdah: 15).

Menurut al-Marhum Shaykh Ahmad Mustafa al-Maraghiy di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghiy, di dalam ayat tersebut, Allah S.W.T. telah menerangkan bahawa mereka yang benar-benar beriman dengan ayat-ayat Allah adalah mereka yang apabila dibacakan ayat-ayat Allah, mereka terus menunjukkan kepatuhan dan segera sujud sambil merendahkan diri terhadap keagungan-Nya kerana menyembah kepada-Nya semata-mata. Dalam sujudnya mereka menjauhkan diri daripada sifat-sifat yang tidak layak dinisbahkan kepada Allah S.W.T. seperti yang sering diungkapkan oleh orang kafir bahawa Allah S.W.T. mempunyai anak, isteri dan sekutu. Ketika melakukan ketaatannya itu mereka sedikit pun tidak berasa takabbur seperti yang dilakukan oleh orang fasik dan orang yang derhaka apabila mendengar ayat-Nya, mereka terus menolaknya dan menyombongkan diri seolah-olah mereka tidak mendengarnya.

Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya juga menghuraikan makna yang sama seperti yang dijelaskan oleh Shaykh Ahmad Mustafa al-Maraghiy. Ibn Kathir menerangkan bahawa ciri-ciri mereka yang beriman kepada ayat-ayat Allah adalah mereka yang mendengar dan mengikut ayat-ayat Allah di dalam perkataan dan perlakuan. Mereka juga tidak angkuh untuk menurut dan menyerah diri kepada ayat-ayat Allah, tidak seperti mereka yang jahil daripada orang kafir yang ingkar. Begitu juga diterangkan di dalam Tafsir al-Jalalayn.

Di dalam Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas, ayat tersebut menerangkan tentang sifat-sifat orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah di mana apabila mereka dipanggil untuk menunaikan salat, mereka datang dengan penuh merendah diri dan bersalat menurut arahan Tuhan mereka, dan mereka tidak angkuh untuk mempercayai Nabi Muhammad s.a.w. dan al-Qur’an atau terlalu angkuh untuk bersalat secara berjemaah. Ayat ini diturunkan untuk orang-orang fasik yang keberatan untuk datang menunaikan salat berjemaah. Demikian yang diterangkan di dalam Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas.

Maka, daripada tafsiran ayat al-Quran tersebut, jelas menunjukkan bahawa mereka yang beriman kepada ayat-ayat Allah terdiri daripada mereka yang bersifat tidak sombong, angkuh dan takabbur serta merendah diri. Mereka tidak angkuh untuk menerima arahan daripada Allah S.W.T. dan Nabi Muhammad s.a.w. Sikap ini jelas bertentangan dengan sikap mereka yang kafir dan fasik.

Bolehlah diambil pengajaran daripada ayat al-Qur’an tersebut, bahawa akhlaq orang yang beriman kepada ayat-ayat Allah S.W.T. adalah tidak sombong dan takabbur serta sentiasa membasahkan lidah mereka dengan mensucikan dan membesarkan Allah S.W.T. Ini bermakna mereka sentiasa mengingati Allah dengan membesarkan dan menyucikan-Nya dengan sebanyak-banyak sebutan.
Maka, kita sebagai orang Muslim yang beriman kepada ayat-ayat Allah, hendaklah kita menjauhkan diri kita daripada sikap sombong dan takabbur. Bagi menjauhi daripada dua sikap yang tercela ini, hendaklah kita mengetahui keburukannya dan seterusnya cara-cara untuk menjauhi dan mengubatinya.

Menurut Imam al-Ghazali, takabbur itu buruk dan tercela. Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: “Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar daripada tanda-tanda Kekuasaan-Ku…” (Surah al-A‘raf: 146).

Nabi s.a.w. telah bersabda:

Tidak masuk syurga orang yang dalam hatinya ada seberat zarah daripada takabbur.”
(Hadith riwayat Muslim).

Nabi juga telah bersabda:

Allah Ta‘ala berfirman: “Takabbur itu redha-Ku dan kebesaran itu izar-Ku. Maka barangsiapa berebut salah satunya dengan Aku, maka Aku lemparkan dia ke dalam Jahannam.”

Menurut Imam al-Ghazali lagi, takabbur ialah sebuah sifat dalam jiwa yang timbul daripada memandang diri sendiri. Sifat itu pada kenyataannya menimbulkan sesuatu pengaruh. Imam al-Ghazali di dalam kitab Ihya’nya telah membahagikan takabbur kepada tiga bahagian:

1)Jika kesombongan itu terhadap Allah, iaitu tidak tunduk kepada perintah-Nya, maka itulah kemusyrikan yang sempurna.

2)Jika kesombongan itu kepada para utusan, iaitu tidak tunduk kepada orang seperti mereka, maka itu juga kemusyrikan yang sempurna.

3)Kesombongan kepada orang lain agar mereka tunduk dan menghormati. Ini juga menentang kebesaran Allah, sebab tidak seorang pun selain Allah yang layak ditaati.

(more…)

Tasawwuf, Tazkirah DiriJanuary 15, 2007 4:31 am

Kata Imam al-Ghazali: “Makna fakir itu ‘ibarat daripada ketiadaan mendapat barang yang berhajat kepadanya. Adapun tiada mendapat barang yang tiada berhajat kepadanya, maka tiada dinamakan fakir. Dan jika ada yang berhajat kepadanya maujud lagi kuasa atasnya, tiada dinamakan yang berkehendak itu fakir.”

Orang Miskin Masuk Syurga Mendahului Orang Kaya

Dan adalah Rasulullah s.a.w. berkata pada do’anya:

Hai Tuhanku, hidup olehmu akan daku miskin, dan mati olehMu akan daku miskin, dan himpunkan olehmu akan daku di dalam himpunan segala orang miskin.”

Maka kata ‘A’isyah r.a. baginya: Kerana apa ya Rasulullah?” Maka sabdanya: “Bahawasanya mereka itu masuk syurga dahulu daripada orang kaya dengan 40 tahun. Hai ‘A’isyah, jangan engkau tolak akan orang miskin dan jikalau dengan sebelah buah tamar sekalipun. Hai ‘A’isyah, kasih olehmu akan segala miskin, dan hampirkan olehmu akan mereka itu, nescaya hampir akan dikau Allah Ta‘ala pada hari qiamat.”

Dan pada hadith Tirmidhi, daripada hadith Abi Hurairah, katanya: Sabda Rasulullah s.a.w.: “Masuk syurga orang fakir dahulu daripada orang kaya dengan 500 tahun, dan iaitu nisfu hari.”

Maka jika dikata orang: “Betapa dua hadith itu?”

Jawabnya: Dengan dihimpunkan antara dua hadith itu, bahawasanya 40 tahun itu dikendak dengan dia terdahulu fakir yang loba atas orang kaya. Dan dikehendaki dengan 500 tahun itu fakir yang zahid atas orang kaya yang gemar kepada dunia.

Sabda Nabi s.a.w.:

Bermula fakir itu terlebih perhiasan atas orang mu’min daripada tali di atas pipi kuda.”

Dan dikehendaki dengan dia fakir, yang tiada berhajat kepada manusia.

Dan sabda Nabi s.a.w.:

Bermula kepapaan itu kecelaan dan kehinaan pada manusia, dan terlebih perhiasan dan kemuliannya pada Allah Ta‘ala pada hari qiamat”, yakni; kerana sejahtera taulannya pada dua negeri.

Nabi Dan Sahabat Yang Terakhir Masuk Syurga

Dan tersebut pada khabar: “Bermula akhir anbiya’ masuk syurga itu Nabi Sulaiman bin Daud ‘Alahimassalam, kerana tempat kerajaannya. Dan akhir sahabatku masuk syurga, ‘Abdul Rahman bin ‘Auf, kerana kayanya.

Dan sabda Nabi s.a.w.:

Bagi tiap-tiap suatu itu anak kunci. Dan anak kunci syurga itu kasih akan segala miskin dan fuqara’ kerana sabar mereka itu. Mereka itulah yang sekedudukan serta Allah pada hari qiamat,” yakni; yang hampir kepadaNya.

Dan kata Yahya bin Mu‘adh: “Kasih engkau akan fuqara’ itu daripada perangai mursalin (para rasul). Dan memilih engkau duduk serta mereka itu daripada ‘alamat orang salihin, dan lari daripada bersahabat dengan mereka itu daripada ‘alamat orang munafiqin.”

Dan sabda Nabi s.a.w.:

Bahawasanya Allah Ta‘ala kasih akan hambaNya yang mu’min yang faqir yang terpelihara ia, yakni daripada yang haram, dan daripada meminta-minta kepada manusia lagi mempunyai ‘iyal,” yakni; ahli (tanggungan).

Tanbih (Peringatan)

(more…)

Tazkirah DiriNovember 19, 2006 5:03 am

Ustaz Abu Ali al-Banjari al-Nadwi (Ahmad Fahmi Zam-Zam) seorang murid rapat al-Marhum Shaykh Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani dan penulis biografi al-Marhum, telah memetik sebuah hadith di dalam bukunya ‘Empat Puluh Hadis Penawar Hati’ yang berbunyi:

“Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah s.a.w. pada satu riwayat yang Baginda meriwayatkan daripada Allah S.W.T. (ertinya dalam hadis qudsi) sabdanya: “Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa lalu ia berdoa: “Ya Allah, ampunilah dosaku” maka Allah S.W.T. berfirman baginya: “Hambaku melakukan sesuatu yang berdosa lalu ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang dapat mengampuni dosanya atau boleh juga menjatuhkan hukuman dengan sebab adanya dosa itu.” Kemudian apabila hamba itu kembali berbuat dosa lalu ia berdoa pula: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku,” maka Allah S.W.T. berfirman: “Hambaku telah melakukan dosa dan ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni segala dosa atau boleh pula menyiksa dengan sebab dosa itu.” Kemudian hamba itu sekali lagi berbuat dosa maka ia lalu berkata: “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku”, maka Allah S.W.T. berfirman kepadanya: “Hambaku berbuat dosa dan ia menyedari bahawa baginya ada Tuhan yang mengampuni segala dosa dan boleh menyiksa dengan sebab dosa itu. Sesungguhnya Aku mengampuni segala dosa hambaKu, maka hendaklah ia berbuat sesuka hatinya.” (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

(more…)

Tasawwuf, Tazkirah DiriOctober 18, 2006 3:53 am

Mungkin tajuk ini adalah tajuk ulangan sebelum ini. Tapi saya merasakan penting untuk diri saya dan sahabat-sahabat semua. Jadi, saya ingin berkongsi sedikit ‘ilmu dengan sahabat semua tentang perkara ini.

Junjungan Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

Apakah kamu mahu aku ceritakan kepadamu berkenaan amal perbuatanmu yang terbaik dan yang paling bersih dalam pandangan Allah S.W.T., serta orang yang tertinggi darjatnya di antara kamu, yang lebih baik dari bersedekah emas dan perak serta lebih baik dari memerangi musuh-musuh kamu semua dan memotong leher mereka, dan mereka juga memotong lehermu?” Kemudian para sahabat bertanya, “Apakah itu wahai Rasul?” Beliau menjawab: “Zikir kepada Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat al-Baihaqi).

Nabi panutan kita telah bersabda lagi yang bermaksud:

Kiamat tidak akan berlaku selagi masih ada orang yang menyebut perkataan “Allah, Allah.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Bersabda lagi Sayyidina wa Maulana Muhammad s.a.w.:

Zikir yang paling baik ialah kalimah لا إله إلا الله” (Hadith Riwayat al-Tirmidhi).

Bahawasanya seorang Badwi bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: Bahawasanya syari’at Islam sudah banyak saya terima, maka terangkanlah kepada saya sesuatu yang mudah dikerjakan. Nabi menjawab: Hendaklah lidahmu basah dengan zikir Allah.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah).

Bersabda Rasulullah s.a.w.:

Tidak berkumpul sesuatu kumpulan dalam rangka berzikir kepada Allah melainkan memeluk akan mereka itu malaikat-malaikat, dilindungi atas mereka rahmat, dan turun ke atas mereka ketenangan dan mereka dingat akan Allah Ta’ala di hadapan makhluk yang banyak pada sisiNya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Berkata Ibnu Ata’illah al-Sakandari di dalam kitab al-Hikamnya:

Janganlah engkau meninggalkan zikir kerana semata-mata engkau belum benar-benar ingat kepada Allah sewaktu berzikir, sebab kelalaianmu kepada Allah ketika tidak berzikir lebih berbahaya daripada kelalainmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Semoga Allah menaikkan darjatmu melalui zikir yang kamu lakukan dengan lalai, kepada zikir yang penuh sedar kepada Allah. Kemudian ia meningkat pula kepada zikir yang penuh sedar serta ingat kepada Allah kepada zikir yang disertai rasa hadir. Selepas itu ia terus meningkat daripada zikir yang disertai rasa hadir kepada martabat zikir sehingga lupa terhadap sesuatu selain Allah. Hal yang demikian adalah tidak sukar bagi Allah.”

Semoga kita dapat mencapai martabat zikir yang terakhir itu.

لا إله إلا الله محمد رسول الله فى كل لمحة و نفس عددما و سعه علم الله

Tasawwuf, Tazkirah DiriAugust 14, 2006 5:50 am

Berkata Ibn Ata’ Allah Al-Iskandari di dalam kitabnya Kitab al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir:

Bila semangat orang yang menuju Allah terhenti pada sebahagian yang dibukakan baginya, suara-suara hakikat akan memperingatkan, “Yang engkau cari masih di depan!” maka jangan berhenti sampai di situ. Begitu pula bila tampak keindahan duniawi, hakikat akan memperingatkanmu, “Kami hanyalah batu ujian, tidak lebih dari suatu fitnah, maka jangan percaya kepadaku!”

(more…)

Tazkirah DiriAugust 9, 2006 4:25 am

Al-Marhum K.H Syafi‘i Hadzami telah ditanya dengan soalan yang berbunyi:

Apakah kita berdosa atau mendapat pahala, andaikata kita menyuruh orang melakukan sembahyang dan mengaji, sedang kita sendiri lalai mengerjakan sembahyang dan mengaji?

Al-Marhum K.H Syafi‘i menjawab:

Al amr bi al-Ma‘ruf ertinya memerintahkan orang lain berbuat kebajikan adalah wajib. Termasuk sembahyang lima waktu dan mengaji atau menuntut ilmu. Kalau hal ini dilakukan tentu mendapat pahala, kerana orang yang memerintahkan melakukan kewajipan adalah telah melaksanakan perintah wajib.

Sedang yang memerintah itu tidak melakukan sembahyang dan menuntut ilmu agama, maka tentu ia berdosa kerana meninggalkan sembahyang dan menuntut ilmu agama. Dosa orang ini adalah kerana meninggalkan sembahyang dan menuntut ilmu agama, dan bukannya kerana memerintahkan orang lain sembahyang dan menuntut ilmu agama. Kesimpulannya orang ini mendapat dua perkara, pahala dapat dan dosa dapat. Sudah terang neraca amalnya akan berkurangan. Dosa tinggal sembahyang dari kerana demikian besarnya tidak boleh ditebus dengan pahala menyuruh sembahyang kepada orang lain.

Jadi mereka yang rajin memerintah kebajikan dan malas melakukan kebajikan untuk diri sendiri, janganlah berhenti dari memerintahkan kebajikan, bahkan wajiblah ia berusaha supaya dia sendiri dapat melakukan kebajikan itu. Jika dia terus menerus meninggalkan kebajikan bagi dirinya, akan tercelalah dia dan akan terseksalah ia kerana meninggalkan kewajipan dirinya. Walhasil, kewajipan atas manusia dua perkara:

1. Meninggalkan mungkar.
2. Mengingkari mungkar.

Kalau dalam hadis-hadis sahih ada dinyatakan azab bagi mereka yang amr bi al-ma‘ruf tetapi ia sendiri tidak melakukan ma‘ruf atau mengingkari munkar, padahal ia sendiri melakukan munkar, bukanlah mereka diazab kerana amr bi al-ma‘ruf dan bukan kerana nahi an al-munkar, tetapi adalah tidak melakukan ma‘ruf bagi dirinya dan tidak meninggalkan munkar dari dirinya.

Diriwayatkan dari Abi Zaid Usamah bin Zaid bi Harithah r.a., berkatalah ia: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

Akan didatangkan dengan seorang lelaki pada hari kiamat lalu dilemparkan ke dalam neraka, maka keluarlah segala isi perutnya dan berputar-putarlah ia dalam neraka itu, sepertinya keldai pada penggilingan, lalu berkumpullah di sekitarnya oleh ahli-ahli neraka seraya berkata: Hai fulan, menagapa engkau? Bukankah engkau itu pernah memerintahkan kebajikan dan mencegah kemingkaran? Jawabnya: Benar, aku memerintahkan kebajikan tetapi aku sendiri tidak melakukannya. Dan aku mencegah kemungkaran, tetapi aku sendiri melakukannya.” (Muttafaq ‘Alaih).

Mengenai hadis ini telah berkata Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali:

Azab tersebut hanyalah kerana ia melakukan munkar bukan kerana ia mengingkari munkar.”

Memperkuat pendapat ini oleh suatu hadis yang diriwayat oleh Anas bin Malik r.a., berkata ia:

Pernah aku berkata: Ya Rasulullah. Tidaklah aku memerintahkan kebajikan sehingga aku sendiri melakukannya. Dan tidak aku mencegah kemungkaran, sehingga aku sendiri menjauhkannya. Jawab Rasulullah s.a.w.: Perintahkan olehmu akan kebajikan, walaupun kamu tidak memperbuatnya. Dan cegah olehmu akan kemungkaran walaupun kamu tidak menjauhkan seluruhnya.”
(Hadith riwayat al-Thabarānī).

Walaupun demikian, alangkah jeleknya orang yang memerintahkan tetapi ia sendiri tidak melakukannya, dan orang yang mencegah tetapi dia sendiri melanggarnya.

Perhatikanlah syair yang diucapkan oleh Abu al-Aswad al-Duali:

Wahai lelaki yang mengajarkan orang lain, mengapa pengajaran itu tidak untuk diri kamu. Engkau sifatkan ubat para penderita penyakit supaya menjadi sembuh, padahal engkau sendiripun menderitanya. Dan kami lihat engkau selalu memperbaiki akal fikiran kami dengan petunjuk, padahal engkau sendiri kehampaan petunjuk itu. Maka mulailah dirimu, dan cegahlah dia dari kesesatannya. Maka jika engkau telah terhenti daripadanya, barulah engkau bijaksana. Maka di sanalah akan diterima orang apa yang engkau katakan, dan beroleh petunjuklah manusia dengan katamu, serta bergunalah pengajaran itu. Janganlah engkau cegah suatu perilaku sedangkan engkau sendiri melakukannya. Sungguh besar kecelaan atasmu, bila engkau memperbuatnya.”

«« Older Items |