Melafazkan Siyadah Ketika Tasyahhud
Menyentuh permasalahan meletakkan perkataan sayyidinā semasa membaca tasyahhud di dalam sembahyang, di sisi mazhab Shafi‘i, menetapkan keharusan amalan tersebut sebagaimana yang dilakukan selama ini hinggalah sekarang. Sandaran mereka berdasarkan fatwa yang kuat dan telah ditahqiq di dalam kitab Hāshiyah al-Jamal ‘alā Sharh al-Minhaj (حاشية الجمل على شرح المنهج) karangan Shaykh Zakariyā al-Ansārī (شيخ زكريا الانصارى) di dalam juzuk khusus mengenai amalan bersalawat ke atas Rasulullah s.a.w. di dalam tasyahhud. Nasnya berbunyi:
“Adalah lebih utama dan afdal mendatangkan lafaz siyādah sepertimana yang dikatakan oleh Ibn Zahīrah dan sebahagian besar dari ‘ulama’ mazhab Shafi’i. Dengannya juga, pensyarah kitab (Imam al-Ramli) telah berfatwa mengatakan bahawa perbuatan tersebut yang dilakukan kerana mendatangkan suatu perintah dan adab adalah lebih afdal dari meninggalkannya sekalipun Asnawī meragui akan fadilatnya. Manakala hadith yang berbunyi لا تسيدونى فى الصلاة adalah batil yang tidak ada asal baginya.”
Malahan hadith batil tersebut adalah salah dari segi tatabahasanya dan tidak mungkin Rasulullah s.a.w. yang mahir berbahasa arab akan menggunakan ayat yang sebegitu rupa.
Imam Sayuti turut mengakui bahawa tiada hadith .لا تسيدونى فى الصلاة
Imam Ahmad bin Hajar iaitu di kalangan ‘ulama’ mazhab Shafi’i berkata di dalam kitab الجوهر المنظم:
“Menambah perkataan sayyidinā sebelum nama Muhammad tidak mengapa bahkan merupakan suatu adab terhadap hak Rasulullah s.a.w. sekalipun dilakukan di dalam sembahyang iaitu sembahyang fardu.”
Untuk penjelasan yang lebih terperinci, berdasarkan dalil-dalil al-Quran dan hadis, sila rujuk buku “Sayyidina dan Perbincangan Ulama’” karangan Muhammad Fuad bin Hj. Kamaludin, ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan.
Berkata Shaykh Syihabuddin al-Qaliyubi, pensyarah kitab Minhaj al-Talibin karangan Imam Nawawi:
“Ya, tidak merosakkan (di dalam tasyahhud) menambah huruf ‘mim’ pada “‘Alaika”, begitu juga menambah ‘ya’ sebelum “ayyuhā”, begitu juga membaca ‘wahdahu lā sharīkalah’ sesudah “ashhadu a(l) lā ilāha Illallāh”, begitu juga menambah ‘‘abduhu’ sebelum lafaz “wa Rasulullah”, begitu juga menambah ‘sayyidinā’ sebelum nama Muhammad, tetapi membaca sayyidinā lebih afdal kerana dalam membaca sayyidinā itu kita sudah menjalankan perintah Nabi serentak dengan memuliakan dan menghormati Nabi.






